Agihan 1,000 Bubur Manis Eratkan Silaturahim Komuniti di Batu Danau
LIMBANG: Program Penyerahan Bubur Manis sempena Ramadan 2026 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.80 Batu Danau dan SABERKAS Cawangan Batu Danau dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Surau Nur Raudah Kampung Buluh Baloi berjaya menyemarakkan semangat kebersamaan dan amalan berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat setempat.
Program yang berlangsung di Surau Nur Raudah Kampung Buluh Baloi pada Ahad itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, bersama pemimpin komuniti dan penduduk kampung.
Sebanyak 1,000 bekas bubur manis telah disediakan dan diagihkan kepada pengguna jalan raya serta penduduk sekitar sebagai tanda keprihatinan dan usaha menggalakkan budaya bersedekah sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Dato Paulus, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja membantu menyantuni masyarakat, malah menjadi platform penting untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin, pertubuhan dan komuniti setempat.
“Program kebajikan seperti ini mencerminkan nilai keprihatinan dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat. Ia juga menjadi ruang untuk kita memperkukuh perpaduan serta mengimarahkan institusi surau sebagai pusat aktiviti komuniti,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PBB Cawangan N.80 Batu Danau, SABERKAS Cawangan Batu Danau serta Jawatankuasa Pengurusan Surau Nur Raudah atas komitmen menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Selepas selesai pengagihan bubur manis, YB Dato Paulus Palu Gumbang turut meluangkan masa menghadiri majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat di surau berkenaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan beliau dalam mendekati rakyat di kawasan DUN N.80 Batu Danau.
Turut hadir Pengerusi Surau Nur Raudah Kampung Buluh Baloi, Mohd Ismail Abdullah, Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Batu Danau, Mohd Khalid Ismail, Ketua Kampung Buluh Baloi, Dayang Asan serta Ahli Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Elvis Mathew Bungsu.-EDISI UKAS