Kerajaan Sarawak Terus Perluas Bekalan Air Luar Bandar, Liputan Cecah 71 Peratus
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha memperluas kemudahan bekalan air bersih ke kawasan luar bandar apabila liputan di kawasan tersebut kini mencecah sekitar 71 peratus, manakala liputan keseluruhan negeri telah mencapai kira-kira 85.6 peratus.
Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ts. Ahmad Selihin Che Said berkata, JBALB Sarawak menyasarkan peningkatan liputan bekalan air antara dua hingga enam peratus setiap tahun, bergantung kepada pertambahan penduduk serta perkembangan komuniti di sesuatu kawasan.
Menurutnya, pencapaian tersebut perlu dinilai dari tahun ke tahun kerana penyediaan bekalan air dibuat berdasarkan jumlah isi rumah yang sentiasa berubah selaras dengan pertumbuhan populasi.
“Sekiranya jumlah penduduk statik ia mungkin lebih mudah, namun hakikatnya bilangan isi rumah sentiasa bertambah dan komuniti juga berkembang, menyebabkan sasaran liputan perlu disesuaikan mengikut keadaan semasa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat JBALB Sarawak Tahun 2026 di sini pada Isnin.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak membelanjakan kira-kira RM558 juta bagi pelaksanaan projek bekalan air luar bandar sepanjang tempoh lima tahun.
Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 216 projek telah dirancang dengan 28 projek telah siap dilaksanakan, 114 projek sedang dalam pembinaan, manakala 52 berada dalam peringkat perancangan dan dijadualkan untuk dilaksanakan secara berperingkat pada tahun 2027.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy