Tema ‘Water and Gender’ Tekan Peranan Wanita Dalam Pengurusan Sumber Air
KUCHING: Tema Hari Air Sedunia 2026 iaitu “Water and Gender” menekankan hubungan rapat antara pengurusan sumber air dengan kesaksamaan gender dalam masyarakat.
Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Ts. Ahmad Selihin Che Said berkata, akses kepada air bersih dan selamat bukan sekadar isu pembangunan infrastruktur, malah berkait rapat dengan kesejahteraan sosial serta pembangunan komuniti secara menyeluruh.
“Dalam banyak komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, wanita sering memainkan peranan penting dalam pengurusan air di peringkat keluarga dan komuniti.
“Oleh itu, penglibatan semua pihak tanpa mengira gender amat penting dalam memastikan pengurusan sumber air yang lebih inklusif, mampan dan berkesan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat JBALB Sarawak Tahun 2026 di sini pada Isnin.
Ts. Ahmad Selihin menambah, JBALB Sarawak amat menitikberatkan penglibatan semua pihak dalam memperkukuhkan sistem perkhidmatan bekalan air.
“Ramai pegawai wanita dalam jabatan ini turut memainkan peranan penting dalam bidang teknikal, operasi, pengurusan projek serta perancangan strategik bagi memastikan sistem bekalan air di Sarawak sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, JBALB Sarawak turut melancarkan Buku Data Panduan JBALB Sarawak ‘Kitak Tauk Sik?’ Edisi Pertama yang bertujuan menyampaikan fakta dan informasi berkaitan sistem bekalan air kepada masyarakat secara lebih santai dan mudah difahami.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy