Sokongan Rakyat Penting Pastikan Agenda Pembangunan Sarawak Berjalan Lancar
PAKAN: Sokongan berterusan rakyat memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan kerajaan negeri dapat dilaksanakan secara lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kedudukan kewangan kerajaan negeri yang kukuh membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan menggunakan peruntukan sendiri, termasuk di kawasan Pakan.
Menurut beliau, keupayaan itu sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan Persekutuan dan membolehkan pembangunan disalurkan dengan lebih cepat serta menyeluruh kepada rakyat.
“Pembangunan yang berkesan perlu digerakkan secara pendekatan ‘bottom-up’, iaitu bermula daripada peringkat komuniti melalui pemimpin masyarakat yang mengenal pasti keperluan penduduk sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama penduduk di Rumah Panjang Jack Suji, Nanga Betan, Buku, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat agar terus memberi kerjasama kepada kerajaan dan wakil rakyat bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya memerlukan kos yang tinggi serta melibatkan penggunaan tanah, justeru kerjasama penduduk amat diperlukan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan tanpa sebarang kekangan.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa proses penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) memerlukan persetujuan komuniti kerana sebarang bantahan akan menyebabkan pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak beralih ke kawasan lain yang lebih bersedia.
Katanya, penyukatan tanah dilakukan terlebih dahulu di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebelum diteruskan ke Seksyen 18 bagi menyelesaikan isu sempadan antara rumah panjang serta pemilik individu.
“Penduduk perlu bersetuju tanah mereka disukat supaya geran hak milik dapat dikeluarkan kerana penolakan hanya akan merugikan komuniti sendiri pada masa hadapan,” jelasnya.- EDISI UKAS