Mangsa Kebakaran Kampung Bahagia Jaya Terima Bantuan Segera
SIBU: Sebuah keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia Jaya, Teku menerima bantuan segera daripada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka bagi meringankan beban mereka selepas kehilangan tempat tinggal dan harta benda.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap ADUN Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee ketika melawat lokasi kejadian pada Isnin.
Kebakaran yang berlaku pada Ahad telah memusnahkan kira-kira 80 peratus sebuah rumah kayu yang disewa oleh keluarga berkenaan, melibatkan lima orang penghuni.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.
Menurut laporan, keluarga terbabit kini menumpang sementara di rumah saudara terdekat sementara menunggu bantuan lanjut.
Dalam pada itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu turut memantau keadaan mangsa dan menyalurkan bantuan sewajarnya.
Sumbangan yang disampaikan oleh Pusat Khidmat ADUN Nangka merangkumi bantuan makanan serta wang tunai bagi membantu mangsa memenuhi keperluan asas mereka.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Penghulu Teku, Mirza Mohamad, Pegawai Tadbir Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Afik Zainuddin, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sibu, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Fasa 2 Dayak Teku, Kampung Bahagia Jaya.- EDISI UKAS