Sarawak Tarik Minat Kanada Teroka Kerjasama Dalam Tenaga, Pertanian & Aeroangkasa
KUCHING: Sarawak terus menarik perhatian rakan antarabangsa apabila Kanada meneroka peluang kerjasama strategik dalam sektor tenaga, pertanian dan aeroangkasa.
Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Rae Robinson berkata, Kanada mempunyai banyak syarikat inovatif serta kepakaran yang boleh dimanfaatkan bagi menyokong keutamaan pembangunan Sarawak dalam bidang berkenaan.
Menurut beliau, perkara itu juga membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi teknologi dan pengetahuan dalam industri yang berpotensi untuk terus berkembang di Sarawak.
“Kami mempunyai banyak syarikat inovatif dari Kanada serta pengetahuan dalam bidang yang menjadi keutamaan Sarawak seperti tenaga, pertanian dan juga aeroangkasa yang saya difahamkan merupakan bidang baharu bagi Sarawak.
“Terdapat banyak peluang untuk kita bekerjasama dalam sektor-sektor tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Robinson turut memaklumkan Kanada juga melihat potensi untuk menyokong Sarawak dalam memastikan industri perlombongan dilaksanakan secara mampan dan mesra alam.
Menurutnya, Kanada memahami komitmen Sarawak dalam memastikan aktiviti perlombongan dijalankan dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.
“Saya tahu Premier Sarawak mempunyai komitmen yang sangat kuat untuk memastikan sebarang aktiviti perlombongan dijalankan secara lestari.
“Oleh itu, kami melihat bagaimana Kanada boleh menyokong Sarawak dari perspektif industri perlombongan sambil memastikan ia dilaksanakan secara mampan,” ujarnya.
Selepas itu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Norway ke Malaysia, Marianne Fosland.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini