Jambatan Batang Igan Dibuka 16 Mac, Permudah Akses Ke Matu, Daro & Mukah
IGAN: Jambatan Batang Igan yang sekian lama dinantikan penduduk dijadualkan dibuka kepada orang awam pada 16 Mac ini, sekali gus menjadi pemangkin penting kepada pembangunan serta meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan pesisir Sarawak.
Perkara tersebut dimaklumkan dalam mesyuarat penyelarasan bagi majlis pembukaan awal (soft opening) projek berkenaan yang diadakan di Pejabat Tapak Jambatan Igan, pada Selasa.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Pengarah projek merangkap Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Awang Dasuki Awang Dol.
Majlis pembukaan awal jambatan berkenaan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pembukaan jambatan tersebut dijangka memberi impak besar kepada penduduk setempat apabila ia dapat memendekkan masa perjalanan antara Matu, Daro dan Mukah, selain memudahkan hubungan ke kawasan lain di utara Sarawak.
Seiring dengan pembukaan jambatan itu, perkhidmatan feri Igan yang sebelum ini menjadi penghubung utama di kawasan berkenaan dijangka ditamatkan pada hari sama selepas majlis pembukaan rasmi.
Pembinaan Jambatan Batang Igan dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur pengangkutan negeri, di samping membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi kepada komuniti setempat.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Matu, Hamidah Halpi.- EDISI UKAS