BAU: Seramai 164 murid Sekolah Kebangsaan (SK)!Segong selamat dipindahkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bau selepas terperangkap dalam banjir susulan paras air yang meningkat akibat hujan berterusan di Kampung Segong Singai, di sini, pada Selasa.
Daripada jumlah tersebut, seramai 142 adalah murid tahun satu hingga tahun enam manakala 22 lagi adalah merupakan murid prasekolah.
Menurut APM Daerah Bau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Bau, pihaknya telah menerima laporan pada jam 8.25 pagi sebelum tiba di lokasi untuk operasi pemindahan dilakukan pada jam 8.40 pagi.
Operasi berkenaan melibatkan seramai 10 anggota APM dan dibantu agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, dua pegawai dan 15 anggota serta dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau, lima anggota.
Kesemua murid yang selamat dipindahkan kemudian diserahkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga masing-maasing sebelum dibawa pulang.
Hadir sama di lokasi adalah, Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman dan Ketua Kaum Kampung Segong, Amy Munga. -EDISI UKAS