Jelajah Ramadan Sri Aman Sampaikan Mesej Antidadah Kepada Komuniti
SRI AMAN: Program Jelajah Ramadan Daerah Sri Aman 2026 menjadi platform menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat setempat, khususnya dalam suasana bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Program anjuran Pejabat Daerah Sri Aman melalui Jawatankuasa OSC MIDS Daerah Sri Aman dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Sri Aman itu telah berlangsung di Surau Kebahagiaan, Kampung Hilir, di sini.
Antara pengisian utama program ialah tazkirah Ramadan bertajuk “Memelihara Akal, Menjauhi Dadah: Tuntutan Islam dalam Kehidupan” yang disampaikan oleh Pegawai Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Kamarulzaman Haji Kawi.
Dalam tazkirah tersebut, beliau menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah bukan sahaja memudaratkan individu dan keluarga, malah bercanggah dengan tuntutan Islam yang menitikberatkan penjagaan akal, maruah serta kesejahteraan hidup.
Program turut diisi dengan majlis berbuka puasa bersama komuniti setempat serta solat berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Shariff Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa OSC MIDS dan PEMADAM Daerah Sri Aman.
Turut hadir ialah ahli jawatankuasa penganjur, ketua jabatan atau wakil, ketua masyarakat dan ketua kaum serta penduduk setempat.
Penganjuran program tersebut diharapkan dapat memperkukuhkan kesedaran masyarakat bahawa usaha menjauhi dadah merupakan tanggungjawab bersama dalam membentuk komuniti yang sihat, sejahtera dan berakhlak mulia selaras dengan nilai-nilai Islam.-EDISI UKAS