Semarak Ramadan, ADUN Asajaya Santuni Pelajar Tahfiz dan Penduduk Asajaya Laut
ASAJAYA: Semangat ukhuwah Ramadan terus diperkukuh apabila Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyantuni pelajar tahfiz serta penduduk setempat dalam Program Iftar Ukhuwah dan Ramah Mesra di Masjid Darul Ehsan, Kampung Asajaya Laut pada Selasa.
Program berkenaan bukan sahaja menjadi platform berbuka puasa bersama, malah memperlihatkan pendekatan kepimpinan beliau yang sentiasa mendekati rakyat, khususnya masyarakat luar bandar serta institusi pendidikan agama.
Dalam majlis tersebut, Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh Asajaya Laut, selain memberikan kata-kata semangat agar mereka terus tekun mendalami pengajian Al-Quran sebagai bekalan membina generasi berilmu dan berakhlak.
Suasana penuh kemesraan jelas terserlah apabila beliau turut berinteraksi secara santai dengan penduduk kampung yang hadir, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Program tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memberi perhatian kepada pembangunan institusi pendidikan agama serta memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Temenggung Bahagian Samarahan Haji Chek Haji Bujang, Penghulu Asajaya Ulu Haji Dallan Man, Penghulu Asajaya Laut Teruna Mat serta Pengerusi Masjid Darul Ehsan Sanusi Sapuan.-EDISI UKAS