MPKS Perkasa Agenda Bandar Pintar, MPKS Sasar Status Smart City Early Adopter
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mempergiat usaha memperkasa pembangunan bandar pintar dengan menyasarkan pengiktirafan peringkat awal sebagai Smart City Early Adopter melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dan perancangan strategik bandar.
Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr. Abang Ismawi Abang Ali berkata, usaha tersebut sedang diperkukuh menerusi penganjuran Sesi Libat Urus Inisiatif Bandar Pintar yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta serta institusi pendidikan bagi mengumpul maklumat dan pandangan berkaitan pembangunan bandar pintar di Kota Samarahan.
Menurut beliau, input yang diperoleh daripada sesi berkenaan akan dijadikan rujukan utama dalam merangka Pelan Induk Bandar Pintar serta Pelan Tindakan Smart City yang lebih komprehensif dan praktikal untuk kawasan pentadbiran MPKS.
“Segala input dan maklumat yang diperoleh daripada sesi libat urus ini merupakan aset penting dalam membentuk hala tuju pembangunan bandar pintar yang mampan di Kota Samarahan,” katanya ketika merumuskan sesi perbincangan program tersebut yang diadakan di sini pada Selasa.
Beliau menegaskan bahawa transformasi digital dan pembangunan bandar pintar merupakan satu perjalanan jangka panjang yang memerlukan kerjasama berterusan antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan serta sektor swasta.
Menurutnya, sinergi strategik antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Sesi libat urus tersebut turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Pejabat Daerah Samarahan dan Asajaya, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Samarahan serta Asajaya.
Selain itu, turut terlibat ialah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Samarahan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Samarahan, Sarawak Water serta Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan SAINS.
Institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut mengambil bahagian bersama wakil sektor swasta termasuk SHEDA, Chinese Chamber dan Lorry Association.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Perbandaran MPKS, Kr. Daily Joseph serta Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani.-EDISI UKAS