Keperluan Projek Kampung Emperoh Karu, Simboh Dibincang Bersama ADUN Mambong
PADAWAN: Perkembangan serta keperluan projek pembangunan di Kampung Emperoh Karu dan Kampung Simboh terus menjadi keutamaan wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kedua-dua kampung.
Perkara itu antara perkara utama yang dibincangkan dalam satu pertemuan antara wakil JKKK kedua-dua kampung dengan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil pada Selasa.
Perjumpaan tersebut melibatkan seramai 15 wakil JKKK dari Kampung Emperoh Karu dan Kampung Simboh.
Delegasi Kampung Emperoh Karu diketuai oleh Ketua Kaumnya, Noing Sejuk manakala delegasi Kampung Simboh pula diketuai oleh Ketua Kaum, Jinun Marer.
Dalam pertemuan tersebut, wakil JKKK membentangkan laporan mengenai projek pembangunan yang telah siap dilaksanakan serta projek yang telah diluluskan sebelum ini.
Selain itu, mereka turut memaklumkan beberapa projek yang masih tertangguh dan memerlukan perhatian bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan demi manfaat penduduk setempat.
Dalam pada itu, turut dibincangkan cadangan projek pembangunan baharu yang dirancang untuk tahun 2026 termasuk usaha menaik taraf kemudahan asas di kawasan kampung.-EDISI UKAS