JKKK Nanga Skrang Bincang Isu Pengurusan Bersama ADUN Simanggang
SIMANGGANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Skrang, Sri Aman mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis bagi membincangkan beberapa isu berkaitan pengurusan jawatankuasa tersebut.
Perjumpaan yang berlangsung di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu bertujuan mendengar sendiri pandangan serta cadangan daripada wakil komuniti berhubung pengurusan JKKK Nanga Skrang.
Dalam sesi berkenaan, wakil JKKK turut menyuarakan hasrat untuk memperbaharui barisan ahli jawatankuasa pengurusan JKKK berdasarkan permintaan ahli jawatankuasa protem sebelum ini.
Datuk Francis Harden dalam ucapan ringkasnya menyatakan kesediaan beliau untuk mendengar saranan komuniti bagi memperbaharui pengurusan JKKK Nanga Skrang agar bergerak seiring dengan haluan pembangunan kerajaan Sarawak.
“Saya mengesyorkan JKKK Nanga Skrang mengadakan mesyuarat dan menyediakan minit mesyuarat dengan memasukkan pelantikan ahli jawatankuasa yang telah dipilih sambil menyatakan pemegang amanah dalam urusan akaun sebelum dikemukakan kepada Pejabat Daerah Sri Aman,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan cadangan pembinaan jalan masuk dari Jambatan Batang Lupar 2 ke kawasan Nanga Skrang bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan pertanian di kawasan tersebut.
Menurutnya, perancangan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan melalui syor wakil rakyat memberi fokus kepada aktiviti pertanian komersial sebagai usaha meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
“Justeru, saya bercadang membawa bersama Jabatan Pertanian Sarawak, Lembaga Nanas Malaysia serta beberapa agensi berkaitan untuk mengadakan dialog pembangunan pertanian kepada penduduk rumah panjang di kawasan itu pada tarikh yang akan ditentukan kelak,” tambahnya.-EDISI UKAS