Majlis Penghargaan Media Eratkan Hubungan, Tingkatkan Kualiti Penyampaian Maklumat
MUKAH: Penganjuran majlis penghargaan kepada pengamal media dilihat sebagai satu usaha mengeratkan hubungan kerjasama antara pihak berkepentingan dengan warga media.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, platform seumpama itu bukan sahaja menghargai sumbangan media, malah mampu memperkukuhkan hubungan yang sedia terjalin sekali gus memudahkan pelaksanaan tugas dengan lebih berkesan.
Menurutnya, hubungan yang baik antara semua pihak penting bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Melalui majlis seperti ini, kita dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
"Apabila hubungan itu baik, sudah tentu kerjasama dalam melaksanakan tugas juga akan menjadi lebih mudah dan lancar,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YB Roy Bersama Media, di MK99 Seafood Restaurant, di Mukah, pada Selasa.
Ujarnya, warga media di daerah ini sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Dalam pada itu, Royston turut menasihatkan para pengamal media agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan tugas.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan para media agar menilai perkara yang ingin diterbitkan dengan sebaiknya kerana ia akan dinilai oleh masyarakat.
Tegasnya, kita perlu memastikan maklumat yang disampaikan benar-benar tepat dan tidak menimbulkan salah faham.
Beliau menambah bahawa pandangan dan nasihat daripada rakan-rakan yang berpengalaman turut membantu dalam meningkatkan kualiti penyampaian maklumat.
“Media memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat mengenai perancangan dan program yang akan dilaksanakan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan jelas dan tepat,” tambah Royston.
Hadir sama, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pegawai UKAS Bahagian Mukah Hafizzul Abdul Halim dan Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias. -EDISI UKAS