Lebih 5,000 Mangsa Banjir Direkodkan Di Bahagian Sibu
SIBU: Seramai 5,282 mangsa banjir daripada 1,694 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan di Bahagian Sibu ketika gelombang banjir yang berlaku pada awal tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kejadian banjir dari 9 hingga 12 Januari 2026 turut melibatkan 66 KIR dengan 251 mangsa yang dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,628 KIR melibatkan 5,031 mangsa adalah mereka yang terputus hubungan di Daerah Selangau,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Petugas Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Zon Tengah yang diadakan di Kompleks Islam Sarawak Sibu pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan Sistem Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan aplikasi MyIBJKM membantu merekod maklumat mangsa dengan lebih awal bagi memudahkan proses pengesahan identiti serta mempercepat penyaluran bantuan.
“Sistem tersebut turut memastikan bantuan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dapat disalurkan kepada mangsa yang layak dengan lebih tepat,” katanya.
Beliau turut menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang hadir, khususnya di kawasan berisiko banjir, supaya menggalakkan penduduk kampung mendaftar maklumat awal melalui aplikasi MyIBJKM.
Menurutnya, penglibatan komuniti juga penting dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana, selain membantu mempercepat pengumpulan data yang lengkap semasa kejadian banjir.
Sementara itu, Pengarah JKM Sarawak Semawi Mohamad, berkata majlis berkenaan julung kali diadakan yang melibatkan 250 peserta dari pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari Zon Tengah.
“Majlis apresiasi ini bertujuan menghargai sumbangan, komitmen semua agensi yang telah banyak membantu JKM Sarawak dalam pengurusan bencana khususnya yang melibatkan mangsa bencana di Pusat Pemindahan Sementara,
“Melalui majlis seumpama ini juga, pihak jabatan berharap jalinan kerjasama antara agensi di PPS dapat diperkukuhkan agar penyampaian perkhidmatan JKM sampai kepada golongan sasar,” katanya. -EDISI UKAS