Projek Tebatan Banjir Lebih RM200 Juta Bakal Selesai Masalah Banjir Di Batu Kawa
KUCHING: Usaha menangani masalah banjir di kawasan Batu Kawa terus diperhebat apabila beberapa projek tebatan banjir bernilai lebih RM200 juta sedang dan telah dilaksanakan bagi melindungi ribuan penduduk di kawasan tersebut.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, kawasan Batu Kawa sememangnya sering terjejas akibat banjir, namun keadaan itu dijangka dapat diatasi sepenuhnya selepas semua projek tebatan yang sedang berjalan siap kelak.
Menurut beliau, terdapat empat projek tebatan banjir dilaksanakan di sekitar kawasan berkenaan, dengan sebahagiannya telah siap manakala selebihnya masih dalam peringkat pelaksanaan.
“Di kawasan Desa Wira misalnya, projek fasa pertama bernilai kira-kira RM20 juta telah pun siap. Fasa terakhir pula melibatkan kos sekitar RM36 juta dan kontraktor telah memulakan kerja,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Stapok (PPS) pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa projek-projek tersebut memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 4,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Selain pembinaan sistem perparitan, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan kolam takungan sementara atau ‘retention pond’ bagi menampung lebihan air ketika hujan lebat.
“Sebanyak empat kolam takungan kering dibina di Batu Kawa dengan keluasan keseluruhan kira-kira 16 ekar.
“Apabila berlaku hujan lebat dan air meningkat, kolam ini akan menampung lebihan air sebelum ia dilepaskan secara terkawal,” jelasnya.
Bagi fasa terakhir projek tersebut, jelasnya, pembinaan benteng sepanjang tiga kilometer turut dilaksanakan memandangkan beberapa kawasan kampung berhampiran sungai berada pada paras tanah yang rendah.
“Jika benteng tidak dibina, air sungai akan terus melimpah ke kawasan kampung apabila paras air meningkat. Selain itu, tiga pam air turut dipasang untuk mengepam air keluar dari kolam takungan,” katanya.
Datuk Amar Dr. Sim berkata, pendekatan pengurusan banjir kini memerlukan perancangan lebih komprehensif berbanding dahulu berikutan peningkatan jumlah air hujan.
“Dulu mungkin memadai hanya membina longkang, tetapi sekarang jumlah air terlalu besar. Jika tiada kolam takungan, sungai tidak mampu menampung aliran air dalam satu masa,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas sokongan pembiayaan projek berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang memainkan peranan di peringkat Persekutuan dalam projek besar pengurusan banjir.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek bernilai RM2.4 bilion bagi pembinaan saluran pintasan Sungai Sarawak yang akan mengalihkan kira-kira 60 peratus aliran air sungai tersebut.
“Apabila siap nanti, ia diharap dapat membantu mengurangkan risiko banjir di kampung-kampung sepanjang Sungai Sarawak serta memberi manfaat kepada kawasan sekitar termasuk Batu Kawa,” ujarnya.
Beliau optimis bahawa apabila semua projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan ini siap sepenuhnya, masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Batu Kawa akan dapat diselesaikan secara menyeluruh.- EDISI UKAS