Dr. Tunza Harumkan Nama Sarawak, Dilantik Fellow Institut Pengurusan Malaysia
SIBU: Anak Bumi Kenyalang, Profesor Is. Dr. Tunza Mohd Riduan mencipta sejarah sendiri apabila dilantik sebagai Fellow Institut Pengurusan Malaysia (MIM), sekali gus membolehkan beliau menggunakan singkatan pascanama FMIM yang menandakan gred keahlian tertinggi badan profesional berkenaan.
Pengiktirafan itu dimuktamadkan menerusi sijil di bawah Mohor Rasmi MIM yang ditandatangani pengerusinya, Zainal Amanshah Zainal Arshad serta ketua pegawai eksekutifnya, Kabenesh Eliathamby pada 28 Januari lalu.
Menurut Dr. Tunza, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan besar selain tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada pembangunan kepimpinan dan modal insan negara.
“Pengiktirafan sebagai Fellow Institut Pengurusan Malaysia ini adalah satu penghormatan besar dan pada masa sama menjadi tanggungjawab untuk saya terus menyumbang kepada pembangunan kepimpinan serta modal insan negara,” katanya baru-baru ini.
Beliau yang berpangkalan di Kuala Lumpur terkenal kerana aktif dalam bidang pengurusan dan pembangunan, termasuk usaha berkaitan pembangunan modal insan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurutnya, pembangunan modal insan perlu diberi perhatian berterusan kerana menjadi asas penting kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya sentiasa percaya bahawa ilmu sebenar tidak boleh dibeli, sebaliknya diperoleh melalui usaha, pengalaman hidup dan kesungguhan untuk terus belajar,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memberi peluang kedua kepada individu yang ingin memperbaiki kehidupan, khususnya melalui program pemulihan di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
Menurutnya, usaha pemulihan yang berkesan memerlukan gabungan latihan kemahiran teknikal dan pembinaan sahsiah selain kerjasama antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dr Tunza berkata model kerja hibrid juga berpotensi meningkatkan produktiviti dalam era digital sekiranya diurus dengan kepimpinan berasaskan empati dan kepercayaan.
“Masyarakat juga perlu memberi peluang kedua kepada individu yang ingin memperbaiki kehidupan mereka kerana proses pemulihan memerlukan sokongan daripada kerajaan, NGO dan komuniti,” katanya.
Dr Tunza turut terlibat dalam khidmat masyarakat dan aktivisme sosial dengan menekankan peranan kepimpinan dalam menggalakkan semangat keusahawanan bagi meningkatkan daya saing ekonomi.
Berkhidmat dalam Panel Penasihat Politik, Ekonomi dan Sosial bagi Kerajaan Malaysia, membolehkan beliau menyumbang pandangan berkaitan pembentukan dasar serta strategi pembangunan negara.
Sepanjang kerjayanya, beliau turut berperanan sebagai ahli akademik, pensyarah, penceramah dan penyelidik dalam usaha merapatkan jurang antara dunia akademik dan aplikasi praktikal.
Pelantikan sebagai Fellow MIM itu mengiktiraf kepakarannya dalam bidang latihan korporat dan pembangunan bakat, selain menyokong usaha melahirkan pemimpin beretika serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran masa depan.-EDISI UKAS