![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Kembara UKAS 2026 Saksikan Revolusi Infrastruktur Di Pesisir Sarawak
Hari Ketiga Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat dari Bandar Sarikei hingga ke Matu memberi gambaran yang sangat jelas akan kepesatan pembangunan yang sedang dan telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak di kawasan pesisir.
Wujudnya projek mega bernilai bilion ringgit telah membawa perubahan drastik kepada landskap pembangunan di perkampungan dan penempatan yang adanya jurang memisahkan pulau dan tanah besar.
Hanya beberapa minit dari Bandar Sarikei, tersergam indah Jambatan Batang Rajang atau lebih dikenali sebagai Jambatan Sarikei oleh penduduk tempatan yang telah siap pada tahun lepas bukan sahaja menyediakan jaringan jalan yang lebih selamat dan efisien malah meningkatkan akses ke kawasan perindustrian serta pertanian di pesisir Sarawak.
Jambatan sepanjang 1,440 meter yang dinamakan secara rasmi sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Othman dibina dengan kos RM321.4 juta itu telah mengurangkan jarak perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis daripada 122 kilometer (km) kepada 53 km, manakala dari Bintangor ke Tanjung Manis daripada 108 km kepada 60 km.
Selain itu, masa perjalanan yang sebelum ini memakan masa 2 jam 30 minit kini hanya mengambil 45 minit, manakala perjalanan dari Bintangor ke Tanjung Manis berkurang daripada 2 jam kepada 1 jam sahaja.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Bruit, terdapat satu lagi projek mega Kerajaan Sarawak.
Projek Jambatan Batang Paloh yang kini hampir mencapai 90 peratus dibina dan dijangka siap pada September 2026 akan mengakhiri penantian penduduk 'pulau' untuk menikmati akses jalan raya.
Jambatan sepanjang 1,700 meter itu bernilai kira-kira RM298.494 juta bakal menjadi simbol pembangunan dan nadi penghubung Pulau Bruit dan Tanjung Manis yang kini masih bergantung kepada perkhidmatan feri me
Mungkin pada penghujung tahun ini, perkhidmatan feri Batang Paloh hanya tinggal kenangan.
Tiada lagi 'rintihan' penduduk menunggu giliran berjam-jam malah ada yang menunggu sehingga lima jam terutamanya pada musim perayaan.
Bagi penduduk, siapnya jambatan itu nanti diibarat hadiah yang paling bernilai, menamatkan penantian yang begitu lama.
Namun disebalik pembinaannya, tidak dinafikan ada ketika belakunya isu kelewatan pelaksanaan.
Atas usaha dan komitmen jitu Kerajaan Sarawak, projek itu kini dan projek-projek lain di seluruh Sarawak sentiasa dipastikan dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan rakyat.
Di Pulau Bruit, salah satu projek yang turut memberi impak besar kepada rakyat khususnya komuniti nelayan ialah Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) Kampung Nelayan.
Projek yang dibina dengan kos RM90,351,413.00 itu kini telah mula didiami penduduk.
Bukan itu sahaja, inisiatif tersebut diteruskan dengan kos mencecah RM44, 200,000 yang pastinya memberi sinar baharu kepada komuniti nelayan untuk mendiami rumah yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan lengkap.
Selain itu, pelbagai bentuk pembangunan kini giat dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.
Projek-projek ini termasuk pembinaan Masjid Kampung Semop bernilai RM6.7 juta dan juga pembinaan empat jambatan dalam Pulau Bruit Menghubung Penuai, Betanak, Salah Kecil dan Penipah (RM20 juta).
Sementara itu, sebelum ke tanah besar Daro, kembara meneruskan perjalanan melalui Jambatan Muara Lassa.
Jambatan yang telah siap sepenuhnya itu menjadi 'game changer' yang membawa perubahan ketara kepada ekonomi setempat sejak pembukaannya secara rasmi pada tahun lepas.
Jambatan tersebut amat penting untuk pembangunan ekonomi penduduk kawasan luar bandar, di samping memenuhi keperluan jaringan perhubungan bagi kawasan ini.
Kembara UKAS sekali lagi menggunakan perkhidmatan feri untuk meneruskan perjalanan ke Bahagian Mukah.
Feri Igan masih digunakan menyeberangi sungai dari Daro ke Mukah sehingga ke hari ini.
Namun, pada tahun ini juga, penduduk berharap penantian menikmati pembangunan jaringan jalan raya akan berakhir dengan siapnya projek Jambatan Batang Igan.
Projek yang hampir siap itu akan mengubah mod sistem penghubung yang lebih baik dan efisyen.
Siapnya ketiga-tiga jambatan itu yang menghubungkan kawasan Rajang merupakan projek yang amat penting untuk pembangunan ekonomi penduduk kawasan luar bandar, di samping memenuhi keperluan jaringan perhubungan bagi kawasan ini.
Ia akan menjadi satu ‘catalyst’ dalam pembangunan di kawasan Daro dan Pulau Bruit, termasuk di kawasan Tanjung Manis yang akan dihubungkan oleh Jambatan Batang Paloh dijangka siap pada tahun 2026.
Ini bermakna, kesemua kawasan Lembah Rajang termasuklah di bahagian Igan, akan dapat dihubungkan untuk tujuan pembangunan yang direncanakan mengikut kegiatan ekonomi baharu di Sarawak.
Pembangunan Kerajaan Sarawak Tingkat Taraf Hidup Penduduk Pesisir
Sementara itu, dipersinggahan pertama untuk hari ketiga, Kembara UKAS sempat menemui salah seorang tuai rumah berkongsi pendapat beliau mengenai pembangunan yang kini semakin giat dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
Tuai Rumah Peter Minggat berkata, rumah Panjang beliau antara yang menerima impak positif dari komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan luar bandar dan kawasan pesisir.
Ujarnya, rumah panjang beliau terletak di lokasi strategik iaitu tidak jauh dari Jambatan Batang Rajang atau Jambatan Sarikei yang memberi banyak manfaat terutamanya dari aspek jarak perjalanan, sosioekonomi dan juga pendidikan.
"Kami membina rumah panjang ini pada tahun 2017. Pada masa itu, Jambatan Sarikei masih belum lagi wujud. Dan kini kami antara penduduk di kawasan ini begitu bertuah kerana dengan adanya jambatan ini, perjalanan kami ke Bandar Sarikei lebih agi mudah jika dibandingkan pada tahun-tahun lepas.
"Kedua ialah sudah tentunya kegiatan ekonomi juga bertambah terutamanya bagi nelayan dan petani yang lebih mudah untuk memasarkan hasil mereka di Bandar Sarikei khususnya," ujarnya.
Tambahnya, keputusan beliau dan penduduk untuk berpindah dari kampung lama ke kawasan sekarang adalah tepat selain mengutamakan pembangunan seperti jalan raya dan sebagainya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada wakil rakyat mereka di atas sokongan dan sumbangan bagi mereka untuk mendirikan rumah panjang baharu yang lebih moden.
Pada masa yang sama, Naib Tuai Rumah, Ambie Sikaran berkata, mereka kini tidak ketinggalan menikmati pembangunan susulan lokasi rumah panjang mereka berdekatan dengan Bandar Sarikei.
"Sekarang kehidupan kami lebih baik jika dibandingkan sebelum ini. Sekarang sudah ada jalan raya, jika dahulu kami menggunakan bot untuk ke Sarikei atau Bintangor dan Sibu.
"Terima kasih kepada kerajaan yang telah mewujudkan pembangunan di kawasan ini," katanya.
Di tapak RGC Kampung Nelayan, salah seorang penduduk, Sebki kawli, 65, turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan wakil rakyat mereka, Ahli Dewan Undangan Nengeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol yang mengambil inisiatif membina RCG untuk komuniti nelayan.
Beliau antara yang terawal berpindah masuk berkata, usaha kerajaan itu begitu bermakna kepada mereka untuk mendiami rumah yang lebih selesa.
"Di sini kemudahan sudah lengkap. Rumah juga ada tiga bilik, cukup untuk kami sekeluarga.
"Terima kasih kepada kerajaan Sarawak. Kami mohon bantuan lain juga turut ditunaikan terutamanya pada masa ini musim landas, dua tiga bulan ini sukar untuk turun ke laut," ujarnya. -DEMI RAKYAT