SEDC Salur Lebih RM50,000 Bantu Tiga Institusi Tahfiz, Perkukuh Pembangunan Komuniti
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) terus memperkasa pembangunan komuniti apabila menyalurkan sumbangan melebihi RM50,000 kepada 190 pelajar Tahfiz dari tiga institusi pendidikan Islam di negeri ini sempena Majlis Berbuka Puasa bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Majlis yang berlangsung di Grand Margherita Hotel itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEDC yang memberi penekanan kepada kebajikan masyarakat serta sokongan berterusan terhadap institusi pendidikan Islam di Sarawak.
Turut hadir Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain, bersama barisan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli Lembaga Pengarah SEDC, ketua-ketua jabatan serta pengurusan kanan agensi itu.
Dalam majlis tersebut, SEDC menyampaikan sumbangan kepada tiga institusi tahfiz iaitu Madrasah Tahfiz Al-Hannah (MADTAH), Madrasah Darul Uloom Islamiyyah dan Pondok Hidayatul Mubtadi-ien Wa Tahfizul Al-Quran.
Sumbangan berkenaan merangkumi peralatan asas serta barangan keperluan dapur bagi membantu operasi harian institusi terbabit selain meningkatkan kebajikan para pelajarnya.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan SEDC dalam menyokong pembangunan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan Islam yang berperanan melahirkan generasi berilmu, berakhlak serta berdaya saing.
Pada masa sama, majlis berbuka puasa berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri, sektor korporat dan institusi pendidikan Islam selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan, kebersamaan dan perkongsian rezeki sesama masyarakat.- EDISI UKAS
Wartawan: Ezzah Syafiqah
Jurugambar: Ezzah Syafiqah, Mohd Hisyam