578 Kontena Bubur Asyura, 289 Kurma Diedar Kepada Penduduk DUN Meradong
BINTANGOR: Suasana Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong terus disemarakkan melalui program pengagihan 578 kontena bubur asyura dan 289 kontena buah kurma kepada penduduk beberapa kampung sekitar kawasan tersebut pada Rabu.
Program anjuran Pergerakan Wanita Parti SUPP dan PBB Meradong berkenaan diagihkan kepada penduduk di beberapa kawasan termasuk Kampung Selemas, Taman Bintang, Gemuan Jaya, Sungai Gemuan Darul Falah serta Skim B Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turut turun padang menyantuni penduduk serta menyampaikan sumbangan kepada kampung dan institusi terlibat.
Pengagihan tersebut bertujuan berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat serta menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan melalui amalan bersedekah dan semangat saling membantu.
Dalam pada itu, Datuk Ding turut menyalurkan geran khas kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jawatankuasa pengurusan surau bagi menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan di peringkat kampung.
Antara penerima geran berkenaan ialah JKKK Kampung Selemas Bintangor sebanyak RM3,900, JKKK Kampung Darul Falah Sungai Gemuan Bintangor (RM7,900), JKKK Kampung Gemuan Jaya Bintangor (RM1,500) dan JKKK Kampung Baru Skim B Meradong (RM2,500).
Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Surau Al-Muhajirin Taman Bintang turut menerima geran khas sebanyak RM3,000 bagi menyokong pengurusan serta aktiviti keagamaan di surau berkenaan.
Datuk Ding menegaskan bahawa program seperti itu bukan sahaja membantu meringankan beban masyarakat, malah menjadi platform penting dalam mempereratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat.
Beliau turut berharap agar semangat kerjasama dan kebersamaan seperti ini akan terus dipupuk, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mengajar umat Islam tentang nilai kesyukuran, keprihatinan serta semangat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.-EDISI UKAS