Dari Udara Terserlah Transformasi Sarawak, Infrastruktur Baharu Ubah Landskap Bumi Kenyalang
MUKAH: Dari udara, perubahan landskap Sarawak kini semakin jelas kelihatan. Sungai yang suatu ketika dahulu menjadi penghalang perjalanan kini semakin banyak dihubungkan dengan jambatan baharu, manakala rangkaian jalan raya moden terus merentasi kawasan pesisir dan pedalaman, membawa pembangunan lebih dekat kepada kehidupan rakyat.
Transformasi infrastruktur berskala besar yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak bukan sekadar memendekkan masa perjalanan, malah membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di seluruh negeri.
Pelaksanaan projek-projek strategik termasuk pembinaan 17 jambatan utama di Sarawak menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kesalinghubungan antara kawasan bandar, pesisir dan luar bandar yang sebelum ini terpisah oleh sungai serta faktor geografi.
Inisiatif tersebut juga dilihat sebagai antara usaha berterusan Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih inklusif oleh rakyat di setiap pelosok negeri.
Perubahan ketara itu turut disaksikan dari perspektif berbeza oleh mereka yang melihatnya dari udara.
Juruterbang Polis Gerakan Udara, Supt Narul Amir Ishak berkata, transformasi pembangunan Sarawak kini dapat dilihat dengan jelas ketika beliau menjalankan tugas penerbangan di ruang udara negeri ini.
“Ketika di udara, saya melihat hampir semua dihubungi jalan raya dan jambatan.
“Namun hanya Paloh dan Igan masih belum siap (missing link) untuk ketika ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat yang memasuki hari keempat di Mukah.
Untuk rekod, kawasan Paloh akan memiliki jaringan jalan raya yang lengkap selepas projek Jambatan Batang Paloh, yang kini hampir mencapai 90 peratus kemajuan pembinaan, dijangka siap pada September 2026.
Begitu juga kawasan Igan yang bakal dihubungkan sepenuhnya apabila Jambatan Batang Igan dijangka siap pada tahun ini.
Supt Narul Amir yang telah bertugas di Sarawak sejak 25 tahun lalu mengakui pembangunan negeri ini semakin pesat, khususnya dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
“Jika dibandingkan semasa saya mula ditempatkan di Sarawak, sekarang kita melihat Sarawak telah membangun dengan pesat,” ujarnya.
Beliau yang berasal dari Semenanjung Malaysia turut mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Bidayuh dari Serian.
Sementara itu, Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat pada hari keempat meneruskan perjalanan melalui kawasan Oya, Dalat dan Mukah.
Sepanjang perjalanan, hampir di setiap tepi jalan kelihatan pokok rumbia tumbuh menghijau, malah sebahagiannya telah ditebang dan sedia untuk dijual.
Rumbia atau lebih dikenali sebagai ‘balau’ dalam kalangan penduduk tempatan merupakan antara sumber ekonomi utama masyarakat Melanau, khususnya di Dalat dan Mukah.
Pokok rumbia yang telah dipotong dijual pada harga sekitar RM13 sepotong, sekali gus menjadi sumber pendapatan kepada penduduk setempat.
Dalam perjalanan tersebut, rombongan Kembara UKAS turut tertarik dengan perusahaan keropok yang diusahakan oleh sebuah keluarga di Kampung Masjid, Oya.
Suaipi Usop, 57, ketika ditemui tidak keberatan berkongsi kisah perniagaan yang telah diusahakan keluarganya sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurutnya, pada peringkat awal, beliau dan keluarga hanya menggunakan kaedah tradisional untuk memproses keropok yang diperbuat daripada hasil laut.
“Pada mulanya memang guna cara tradisional. Jadi hasilnya juga sedikit.
“Namun sejak ada mesin yang lebih moden, sekarang kita dapat memproses dalam satu tan bahan mentah yang boleh menghasilkan kira-kira 300 kilogram keropok untuk sehari,” ujarnya.
Menurutnya, pada peringkat awal, beliau dan keluarga hanya menggunakan kaedah tradisional untuk memproses keropok yang diperbuat daripada hasil laut.
“Pada mulanya memang guna cara tradisional. Jadi hasilnya juga sedikit.
“Namun sejak ada mesin yang lebih moden, sekarang kita dapat memproses dalam satu tan bahan mentah yang boleh menghasilkan kira-kira 300 kilogram keropok untuk sehari,” ujarnya.
Beliau berkata, sambutan terhadap produk mereka amat memberangsangkan bukan sahaja di Mukah, malah turut mendapat permintaan dari kawasan lain seperti Kuching, Sabah dan Brunei.
Tambahnya, susulan permintaan yang semakin meningkat, beliau kini mempunyai dua lokasi berasingan untuk memproses keropok.
“Saya juga mempunyai enam orang pekerja tetap selain pekerja tambahan yang membantu memproses bahan mentah.
“Sumber bahan mentah kita ambil dari Sibu atau Bintulu kerana di sini sumbernya tidak mencukupi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa permintaan biasanya meningkat terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.
Sementara itu, kakaknya Sanah @ Kasuma Usop juga telah lama mengusahakan perusahaan keropok ikan sejak berpuluh tahun lalu.
Kini perusahaan tersebut turut dibantu oleh anaknya, Siti Sarahah, 31, bagi meneruskan legasi perniagaan keluarga.
Siti ketika ditemui berkata, beliau mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perusahaan keluarga tersebut pada masa hadapan.
“Kalau boleh, kita merancang untuk mempunyai kilang yang lebih sesuai untuk memproses keropok ini.
“Sekarang kita masih memproses di rumah. Kita berharap akan mempunyai kilang atau tempat yang lebih sesuai suatu hari nanti,” katanya.
Beliau yang turut dibantu beberapa pekerja dari kampung yang sama berkata, perusahaan keropok keluarga mereka, Kesuma Morni Enterprise, juga sering menerima tempahan dari luar kawasan.
“Selain di sini, kita juga mendapat tempahan dari Brunei, Lawas, Miri dan Kuching,” jelasnya.-DEMI RAKYAT