Yayasan Bintulu Port Sumbang Sistem Solar Kepada Masjid Al-Hijrah
BINTULU: Yayasan Bintulu Port menyumbangkan sistem solar kepada Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan sebagai usaha menyokong penggunaan tenaga mampan serta membantu mengurangkan kos utiliti masjid berkenaan.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam menyantuni masyarakat di samping memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.
Penyerahan sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Kanan Group Safety, Security and Sustainability BPHB, Bolhi Maskawi sempena Majlis Jalinan Kasih Ramadan dan Iftar bersama komuniti setempat yang berlangsung di masjid berkenaan pada Khamis.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Ruslan Abdul Ghani serta Pengurus Besar Group Stakeholder Relations BPHB yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bintulu Port, Maslihah Tioh.
Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan simbolik pertukaran hak milik Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan daripada Bintulu Port Sdn Bhd kepada Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS) yang diwakili oleh JAIS Bintulu.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ruslan kepada Ustaz Muhammad Rahiman sebagai wakil JAIS Bintulu.
Turut hadir Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Muhammad Rahiman Malim, Ketua Kaum Taman Sri Pelabuhan Awangku Nasir Pengiran Kerta, serta Pengerusi Masjid Al-Hijrah Taman Sri Pelabuhan Mohd Aziman Drahman. - EDISI UKAS