Wanita Iban Diperkasa Perkukuh Kepimpinan Komuniti Akar Umbi
BETONG: Pemerkasaan wanita Iban dalam kepimpinan komuniti terus diberi penekanan sebagai langkah penting dalam memastikan pembangunan masyarakat yang lebih mampan dan inklusif, khususnya melalui penglibatan aktif golongan wanita dalam proses membuat keputusan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pembangunan komuniti yang mampan tidak hanya bergantung kepada dasar di peringkat kerajaan, sebaliknya perlu bermula di rumah panjang, kampung serta komuniti setempat.
“Program hari ini bukan sekadar latihan, tetapi merupakan pelaburan untuk masa depan komuniti kita. Wanita Iban sejak dahulu lagi memainkan peranan penting sebagai penjaga adat dan budaya, penggerak institusi keluarga serta penyokong kepada kelangsungan ekonomi masyarakat.
“Dalam Sarawak moden, wanita bukan sahaja berperanan dalam keluarga tetapi turut menjadi pendidik, usahawan, profesional serta penggerak komuniti yang semakin aktif dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Empowering Iban Women through Community-Based Leadership Programme di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut menggalakkan wanita untuk lebih berani menyuarakan pandangan dalam mesyuarat komuniti, terlibat secara aktif dalam perbincangan pembangunan serta mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan demi manfaat masyarakat setempat.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan integriti serta kepimpinan beretika dalam pengurusan komuniti, termasuk dalam pengendalian dana komuniti agar sentiasa diurus dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan.
Menurutnya, kepercayaan masyarakat merupakan asas penting dalam kepimpinan, justeru setiap pemimpin komuniti perlu memastikan setiap bantuan dan dana pembangunan disalurkan dengan telus serta memberi manfaat kepada rakyat.
Datuk Gerald turut menzahirkan penghargaan kepada The Iban Women Charitable Trust atas usaha proaktif dalam membangunkan kapasiti kepimpinan wanita Iban melalui penganjuran program berkenaan dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pemahaman terhadap struktur tadbir urus komuniti seperti peranan Tuai Rumah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita, termasuk aspek dokumentasi dan pelaporan yang penting dalam pengurusan bantuan serta geran pembangunan.
Tambahnya, pengetahuan berkaitan sistem pentadbiran dan tadbir urus tersebut akan membantu komuniti mengakses lebih banyak peluang pembangunan yang disediakan oleh kerajaan.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan para peserta memanfaatkan sepenuhnya program latihan selama dua hari itu untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta membina rangkaian kerjasama antara komuniti.-EDISI UKAS