Program Iftar Ukhuwah Perkukuh Hubungan Pemimpin & Masyarakat Di Asajaya
ASAJAYA: Program Iftar Ukhuwah dan Ramah Mesra Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya di Masjid Darul Solihin, Kampung Asajaya Ulu pada Khamis mencerminkan semangat perpaduan serta kerjasama erat antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang berkesempatan menyantuni masyarakat setempat dalam suasana santai dan mesra.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan simbolik penyerahan bubur lambuk kepada penduduk kampung sebagai tanda penghargaan serta keprihatinan terhadap masyarakat sempena bulan Ramadan.
Selain itu, beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama kariah masjid dan penduduk yang hadir sebelum bersama-sama berbuka puasa dengan masyarakat setempat.
Selepas berbuka puasa, beliau turut menunaikan solat fardu Maghrib, diikuti solat Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama penduduk kampung.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Temenggung Bahagian Samarahan, Chek Bujang, Penghulu Asajaya Ulu, Dallan Man, Penghulu Asajaya Laut, Teruna Mat, Setiausaha PBB Cawangan Asajaya, Zul Nono, Ketua Wanita Cawangan Asajaya, Kamisiah Kamar serta wakil Masjid Darul Solihin, Safian Harun.-EDISI UKAS