70 Penerima Terima Sumbangan Ramadan Di Masjid Al-Kasyiin Kampung Segali
SEBUYAU: Seramai 70 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan kanak-kanak menerima sumbangan dalam program santunan Ramadan yang diadakan di Masjid Al-Kasyiin Kampung Segali, di sini, pada Khamis.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.
Dalam majlis berkenaan, 40 penerima daripada golongan asnaf menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan.
Selain itu, 30 orang kanak-kanak turut menerima sampul duit raya yang disampaikan oleh beliau bagi memeriahkan suasana Ramadan serta berkongsi kegembiraan menjelang sambutan Aidilfitri.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial dalam menyantuni masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan.
Selain menyampaikan sumbangan, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk kampung serta menzahirkan harapan agar program seperti ini dapat terus memperkukuh semangat kebersamaan dan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Turut hadir Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Asli Yahya dan Ketua Masyarakat Kampung Segali Abu Bakar Abdul Wahab. -EDISI UKAS