UiTM Mukah Agih 1,200 Bubur Lambuk, Erat Hubungan Dengan Komuniti Setempat
MUKAH: Sebanyak 1,200 bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai menerusi Program Bubur Lambuk dan Iftar Jamaie anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Mukah di Depo Kenderaan, Surau Ibnu Khaldun dan Takan Berambih, pada Khamis.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dr Firdaus Abdullah berkata, penganjuran program tersebut merupakan antara inisiatif universiti dalam meningkatkan interaksi antara warga kampus dengan komuniti sekitar.
Menurut beliau, sepanjang Ramadan ini pelbagai aktiviti keagamaan turut dilaksanakan termasuk program tadarus al-Quran yang melibatkan penyertaan staf universiti.
"Dalam program tersebut, para staf berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 20 hari Ramadan.
"Ini mencerminkan komitmen tinggi warga kampus untuk menghidupkan amalan ibadah sepanjang bulan yang mulia ini," katanya ketika berucap dalam program tersebut.
Dalam program sama, Profesor Dr Firdaus turut menziarahi beberapa warga UiTM Kampus Mukah yang uzur serta menyampaikan bubur lambuk kepada keluarga mereka sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga universiti.
Selain itu, wakil UiTM Kampus Mukah turut mengagihkan bubur lambuk kepada beberapa institusi sekitar Mukah termasuk Politeknik Mukah, CENTEXS, GIATMARA, Sarawak Skills, Maktab Rendah Sains MARA Mukah, Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah, Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Hospital Mukah serta madrasah berhampiran.
Hadir sama, Penolong Rektor UiTM Kampus Mukah Abdul Jabbar Abdullah serta Pengurus Kanan Operasi GFM Sdn Bhd Mulyadi Borhan.-EDISI UKAS