RM32,000 Disalur Kepada Masjid & Surau Di Oya Sempena Program Ziarah Ramadan
OYA: Sebanyak RM32,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan kepada beberapa masjid dan surau di kawasan Oya menerusi Program Ziarah Ramadan 1447H/2026 bagi menyokong penganjuran aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan.
Peruntukan tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid At-Taqwa Oya pada Khamis.
Antara penerima sumbangan ialah Masjid At-Taqwa Oya yang menerima RM4,000, manakala Masjid As-Salam Kampung Teh dan Masjid Darul Islah Kampung Bakong masing-masing menerima RM3,500.
Selain itu, beberapa surau turut menerima sumbangan sebanyak RM2,500 setiap satu termasuk Surau Darul Amilin Kampung Kuala Hilir, Surau Darul An-Nur Kampung Senau Hilir, Surau Darul Ehsan Kampung Kuala Tengah, Surau Darul Ikhlas Kampung Boom, Surau Darussalam Kampung Terus, Surau Darun Najjah SMK Oya serta Surau Darussalam Kampung Senau Ulu.
Dalam majlis sama, turut diagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan dari beberapa kampung sekitar Oya seperti Kampung Senau, Kampung Boom, Kampung Kuala Tengah, Kuala Hilir, Bakong Ulu, Bakong Hilir, Kampung Terus dan Kampung Teh.
Terdahulu, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan peruntukan MRP sempena Program Ziarah Ramadan kawasan Dalat dengan jumlah keseluruhan RM35,500.-EDISI UKAS