Majlis Serahan Bubur Lambuk Semarakkan Ramadan Warga Kompleks Kerajaan Sarawak, Bahagian Betong
BETONG: Semangat kebersamaan dan perkongsian rezeki sempena bulan Ramadan terus disemarakkan menerusi penganjuran Majlis Serahan Bubur Lambuk Warga Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Betong Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Kerajaan Sarawak, Bahagian Betong pada Jumaat.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang yang turut menyampaikan bubur lambuk kepada wakil setiap jabatan di kompleks berkenaan.
Sebanyak 500 kontena bubur lambuk telah disediakan untuk diagihkan kepada jabatan-jabatan sebagai simbol perkongsian rezeki serta usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga perkhidmatan awam sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir ialah Pegawai Pembangunan Zon, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman, Radiah Muhamad serta Ketua Bahagian Pejabat Tabung Baitumal Sarawak Bahagian Betong, Ustaz Zulhazmi Bohari.
Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman.
Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga jabatan di Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Betong di samping menyemarakkan lagi penghayatan bulan Ramadan melalui aktiviti kebajikan dan perkongsian rezeki.-EDISI UKAS