PM Suntik RM2.69 Juta Majukan Sekolah Pondok & Tahfiz Di Sarawak
KUCHING: Sekolah pondok dan tahfiz di Sarawak menerima suntikan dana berjumlah RM2.69 juta dari kerajaan persekutuan bagi memastikan pelajarnya terus mendapat pendidikan seimbang dan tidak terpinggir daripada arus perdana.
Semasa mengumumkan berita gembira itu, Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan memerhati kedudukan sekolah pondok dan tahfiz, sambil menekankan bahawa pembelajaran mengikut manhaj Tarbiyaj mereka tidak akan diganggu.
Jelasnya, pelajar-pelajar ini perlu didedahkan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ditingkatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mereka.
"Saya minta tambah, pondok-pondok ini jangan tersisih daripada arus perdana. Belajar bahasa, belajar bahasa Inggeris, belajar sejarah, jangan terpisah daripada sejarah kita.
"Kemudian, kita perkenalkan juga AI di sekolah pondok, sebuah perancangan awal dengan MDEC untuk mendedahkan mereka," katanya berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya pada Jumaat.
Melalui kerjasama ini ujarnya, pelajar akan diberikan pendedahan awal kepada pembelajaran arus perdana ini dengan sokongan daripada guru dan pentadbir sekolah.
Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Speaker Dewan Negara Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS