PM Kembali Ke Ibu Negara Setelah Selesai Lawatan Kerja Sehari Di Kuching
KUCHING: Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim berlepas ke ibu negara selepas selesai lawatan kerja sehari di sini, pada Jumaat.
Mengiringi beliau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.
Dato Seri Anwar yang menaiki pesawat khas berlepas dari LTAK tepat jam 8.20 malam setelah mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg petang tadi.
Dalam lawatan singkat itu, beliau turut berkesempatan berbuka puasa di Bumi Kenyalang bersama barisan pemimpin negeri serta masyarakat setempat di Masjid Jamek Negeri Sarawak dalam suasana penuh muhibah sempena bulan Ramadan.
Sebelumnya, beliau berkesempatan menyantuni orang ramai di Bazar Ramadan Sukma Ria di sini.
Kehadiran beliau di bazar tersebut mencuri tumpuan para pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar serta berinteraksi secara dekat dengan pemimpin nombor satu negara itu.
Lawatan kerja berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kerajaan Sarawak demi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diperkasa. -EDISI UKAS