500 Anggota JPJ Sarawak Terlibat Dalam Ops Aidilfitri 2026
KUCHING: Seramai 500 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan terlibat dalam pelaksanaan operasi keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 bagi memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini terus terjamin.
Operasi tersebut dilaksanakan menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berlangsung secara serentak di seluruh negara bermula 13 hingga 29 Mac 2026, dengan memberi tumpuan kepada aktiviti advokasi keselamatan jalan raya serta penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah lalu lintas.
Majlis pelancaran program berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah di Terminal Kuching Sentral, pada Jumaat.
Melalui operasi berkenaan, anggota JPJ Sarawak akan melaksanakan pelbagai aktiviti advokasi keselamatan jalan raya serta penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan sepanjang tempoh perayaan.
Selain itu, larangan pergerakan kenderaan berat turut akan dikuatkuasakan pada 19 hingga 20 Mac 2026 serta 28 hingga 29 Mac 2026, iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas Aidilfitri bagi mengurangkan risiko kemalangan serta kesesakan lalu lintas.
Dalam masa yang sama, operasi tersebut turut memberi penekanan kepada pemeriksaan bas di tiga terminal utama negeri, iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.
Pemeriksaan yang dijalankan merangkumi pemeriksaan teknikal kenderaan pengangkutan awam, pemeriksaan pemandu, semakan rekod kesalahan lalu lintas serta ujian saringan awal air kencing bagi memastikan pemandu tidak berada di bawah pengaruh dadah sebelum memulakan perjalanan.
Pelaksanaan operasi ini turut melibatkan kerjasama beberapa agensi strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Menurut Datuk Hasbi pada sidang media selepas program tersebut, pihak JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Beliau berkata usaha berterusan itu diharap dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang berlaku setiap tahun, selain menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil serta Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili. -EDISI UKAS