Jalan Lorong Tarap Limbang Ditutup Sementara Susulan Risiko Tanah Runtuh
LIMBANG: Laluan di Jalan Lorong Tarap yang terletak di belakang bangunan Cheong Choong di sini ditutup sementara kepada semua kenderaan dan orang awam susulan risiko tanah runtuh di kawasan berkenaan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Penutupan tersebut berkuat kuasa mulai 13 Mac 2026 dan akan ditutup sepenuhnya sehingga dimaklumkan kelak bagi memastikan keselamatan pengguna serta memberi laluan kepada tindakan lanjut oleh pihak berkaitan.
Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat berkata penutupan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal selepas kawasan tersebut dikenal pasti berisiko mengalami kejadian tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.
“Orang ramai perlu menjaga keselamatan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui media di Lorong Jalan Tarap pada Jumaat.
Beliau berkata, bagi menangani isu berkenaan, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM810,000 untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam masa terdekat.
Menurutnya, kerja-kerja yang akan dijalankan melibatkan langkah penstabilan kawasan serta usaha menangani risiko tanah runtuh bagi memastikan keselamatan jangka panjang di kawasan tersebut.
“Semenjak semalam penutupan Jalan Lorong Tarap telah diwar-warkan kepada orang ramai melalui media sosial sejak 12 Mac bagi memaklumkan situasi semasa kepada pengguna jalan raya,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak Majlis Daerah Limbang juga akan memasang papan tanda amaran di kawasan berkenaan bagi memastikan orang awam mengetahui mengenai penutupan jalan tersebut dan tidak memasuki kawasan yang berisiko.
Sehubungan itu, pemilik premis berhampiran serta orang awam dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta mengelakkan daripada melalui kawasan berkenaan sepanjang tempoh penutupan dilaksanakan. -EDISI UKAS