Majlis Khatam Al-Quran, Berbuka Puasa Semarakkan Ramadan di Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Betong
BETONG: Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa warga Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Betong 1447H/2026M berlangsung penuh kesyukuran pada Jumaat, sekali gus mengimarahkan bulan Ramadan melalui pengisian kerohanian serta aktiviti kebersamaan.
Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang berkata, penganjuran program seumpama itu mampu memberi impak positif kepada warga jabatan dan agensi kerajaan di kompleks berkenaan, selain memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penjawat awam.
Menurutnya, usaha yang digerakkan oleh Pejabat Agama Islam Bahagian Betong bersama agensi berkaitan sentiasa mendapat sambutan baik kerana berjaya memupuk nilai kebersamaan serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan peluang terbaik untuk umat Islam memperbanyakkan amalan seperti solat tarawih, tadarus Al-Quran dan bersedekah.
“Aktiviti seperti pengagihan bubur lambuk juga mencerminkan nilai empati, kebersamaan dan semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam Bahagian Betong dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman itu.
Tambah beliau, amalan membaca dan memahami Al-Quran perlu terus diperkasa kerana ia bukan sahaja memberi ketenangan jiwa, malah mampu membentuk akhlak yang baik serta menjadi panduan hidup kepada umat Islam.
Sehubungan itu, beliau berharap majlis khatam Al-Quran yang diadakan dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk menjadikan amalan membaca dan memahami Al-Quran sebagai budaya yang berterusan.
Mengakhiri ucapannya, beliau berharap agar HDO Bahagian Betong akan terus bekerjasama dengan pejabat beliau serta agensi lain dalam menganjurkan program-program bermanfaat pada masa akan datang, khususnya yang dapat memperkukuh nilai kerohanian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir ialah Puan Radiah binti Muhamad, Pegawai Pembangunan Zon, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman.-EDISI UKAS