50 Warga Melayu Betong Terima Sumbangan Aidilfitri
BETONG: Seramai 50 warga Melayu daripada enam kampung di Betong menerima sumbangan sempena Aidilfitri di Pusat Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, pada Sabtu.
Program anjuran bersama Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong dan SABERKAS Cawangan Layar itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kepSrihatinan pertubuhan tersebut yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, khususnya ketika musim perayaan.
“Usaha seperti ini mencerminkan semangat perpaduan masyarakat di Betong apabila kita saling membantu dan berkongsi kegembiraan ketika menyambut perayaan,” katanya.
Pada majlis tersebut, setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM100 serta sekotak minuman berkarbonat, dengan RM50 disumbangkan oleh Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong dan RM50 lagi oleh SABERKAS Cawangan Layar melalui program SABERKAS Prihatin.
Penerima bantuan terdiri daripada penduduk Kampung Hilir, Kampung Tengah, Kampung Masjid, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Pasa Melayu.-EDISI UKAS