Datu Felicia Tan Tinjau Persiapan Sarawakku Sayang, Pastikan Kelancaran Program
LIMBANG: Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua telah mengadakan lawatan kerja ke tapak Program Sarawakku Sayang di Kompleks Sukan Bahagian Limbang bagi meninjau persediaan awal menjelang pelaksanaan program tersebut.
Lawatan pada Jumaat itu memberi tumpuan kepada aspek persediaan lokasi, susun atur kawasan program serta kesiapsiagaan pihak penganjur bagi memastikan kelancaran program pada hari pelaksanaannya nanti.
Semasa lawatan tersebut, didapati kerja-kerja penyediaan tapak sedang giat dijalankan dengan beberapa khemah atau kanopi telah mula dipasang sebagai sebahagian daripada kemudahan untuk tetamu jemputan, petugas serta orang awam yang akan menghadiri program berkenaan.
Selain itu, susun atur kawasan program turut diteliti bagi memastikan ruang yang disediakan adalah teratur, selamat dan sesuai untuk menampung kehadiran pengunjung.
Lawatan berkenaan juga memberi peluang kepada pihak berkaitan untuk menyelaras keperluan logistik serta memastikan setiap persediaan berjalan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Secara keseluruhannya, persediaan awal yang dilaksanakan menunjukkan komitmen pihak penganjur dalam memastikan Program Sarawakku Sayang dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
Turut hadir Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal serta pegawai-pegawai kerajaan daripada agensi berkaitan.-EDISI UKAS