KUCHING: Pertubuhan ‘Junior Chamber International’ (JCI) merupakan platform penting dalam melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa serta mampu memacu perubahan mampan di peringkat tempatan dan global.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, JCI yang telah ditubuhkan lebih 100 tahun lalu kini mempunyai keanggotaan melebihi satu juta ahli di lebih 100 negara, melibatkan golongan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, organisasi tersebut bukan sekadar menghimpunkan ahli yang ramai, sebaliknya berfungsi sebagai platform penting untuk melatih pembangunan kepimpinan, memperkasa komuniti serta menggalakkan semangat keusahawanan dalam kalangan belia.
“JCI merupakan sebuah organisasi yang sangat berpengaruh sekiranya ahlinya memahami bagaimana untuk memanfaatkan peluang yang ada.
“Melalui platform ini juga, ahli berpeluang bekerjasama dengan rakan dari pelbagai negara, sekali gus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penganugerahan Pelantikan Ke-3 Junior Chamber International (JCI), di sini, pada Sabtu.
Tambahnya lagi, matlamat utama organisasi tersebut adalah untuk membawa perubahan mampan yang memberi manfaat kepada masyarakat di peringkat tempatan dan global.
Sehubungan itu, Datuk Amar Profesor Dr Sim menegaskan bahawa tiada sebab bagi belia dari Sarawak, termasuk dari kawasan pedalaman di Borneo, untuk tidak memainkan peranan dalam mencipta impak yang besar melalui platform tersebut.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa tempoh kepimpinan dalam JCI yang lazimnya hanya setahun memerlukan kerjasama berpasukan yang kukuh bagi memastikan sesuatu perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Sekiranya terdapat kerjasama pasukan yang baik, segala perancangan dapat diteruskan dengan lancar. Namun tanpa semangat kerja berpasukan, tempoh setahun itu agak sukar untuk merangka, melaksanakan dan melihat hasil sesuatu inisiatif,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS