MIRI: Perpaduan kaum dan kestabilan politik membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kedua-dua aspek tersebut merupakan teras kekuatan Sarawak yang perlu terus dipelihara bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurut beliau, apabila keadaan politik dan rakyat berada dalam keadaan stabil, kerajaan dapat memberi fokus serta keutamaan kepada usaha membangunkan Sarawak dan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif.
“Apabila politik dan rakyat stabil, maka kerajaan dapat memberi fokus dan keutamaan untuk membangunkan Sarawak serta membantu rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Senadin di Meritz Hotel, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat termasuk Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan program pendidikan tinggi percuma di empat universiti milik Sarawak.
Tambah beliau, jumlah peruntukan SKAS pada tahun ini melibatkan RM640 juta, meningkat berbanding RM480.2 juta yang disediakan pada tahun lalu.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan kestabilan politik turut menyumbang kepada peningkatan hasil pendapatan Sarawak yang mencecah RM13.5 bilion bagi tahun kewangan 2025 selain kejayaan memiliki syarikat penerbangan sendiri iaitu AirBorneo.
Dato Sri Lee turut menegaskan bahawa kemajuan Sarawak bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat akan terus berganding bahu dalam menyokong agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
Menyentuh mengenai majlis tersebut, beliau berkata ia bukan sahaja menjadi platform mengeratkan silaturahim malah turut mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
“Di Sarawak, kita mengadakan rumah terbuka bagi setiap perayaan seperti Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Gawai.
“Ini selaras dengan aspirasi Premier Sarawak yang mengutamakan keharmonian serta mewujudkan persekitaran inklusif untuk rakyat berbilang kaum di negeri ini,” ujarnya.
Turut hadir Residen Bahagian Miri Galong Luang, Temenggong Melayu Bahagian Miri Temenggung Mohamed Abang Othman, ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat serta ahli-ahli SABERKAS.-EDISI UKAS