ST. Columba’s Care Ministry Center Sedia Ruang Sokongan Warga Emas
MIRI: Penubuhan St. Columba’s Care Ministry Centre menjadi satu inisiatif bermakna dalam menyediakan ruang sokongan, penjagaan dan interaksi sosial kepada warga emas di bandar raya ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pusat tersebut diwujudkan bagi memberi ruang kepada warga emas, khususnya yang tinggal bersendirian atau yang anak-anak mereka bekerja pada waktu siang, untuk mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat dalam suasana yang selamat dan mesra.
Menurutnya, pusat berkenaan menyediakan tempat kepada warga emas untuk berkumpul, berinteraksi serta membina hubungan persahabatan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak gereja bersama sukarelawan.
“Melalui kemudahan dan program seperti ini, warga emas dapat terus aktif serta terlibat secara sosial selepas bersara, sekali gus mengelakkan mereka daripada berasa terasing di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Opening Ceremony of St. Columba’s Care Ministry Centre yang berlangsung di St Columba Kindergarten, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, inisiatif berasaskan komuniti seperti ini amat penting memandangkan populasi warga emas di Sarawak semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Jelasnya, pusat sedemikian bukan sahaja menyediakan persekitaran yang selamat kepada warga emas, malah memberi rasa kekitaan, maruah dan tujuan hidup kepada golongan tersebut.
Dalam masa sama, beliau berkata kewujudan pusat itu turut memberi ketenangan kepada ahli keluarga yang bekerja kerana ibu bapa mereka mempunyai tempat yang selamat dan penuh perhatian untuk menghabiskan masa sepanjang hari.-EDISI UKAS