RM840,800 Bantuan LAKIB, Perkasa Lebajikan Masyarakat Islam Bitnulu
BINTULU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) menyalurkan bantuan berjumlah RM840,800 kepada masyarakat Islam di Bahagian Bintulu melibatkan bantuan pendidikan, sumbangan kepada masjid dan surau serta bantuan Hari Raya kepada golongan yang memerlukan.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.67 Jepak, Iskandar Turkee pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Bangunan Martabat Bintulu, pada Sabtu.
Dalam ucapannya, beliau berkata majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan LAKIB dalam memastikan kebajikan masyarakat Islam di Bahagian Bintulu sentiasa diberi perhatian dan diperkukuhkan.
Menurutnya, LAKIB memainkan peranan penting sebagai institusi kebajikan yang menyalurkan bantuan kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kebajikan, sokongan pendidikan serta pembangunan institusi keagamaan.
Pada majlis tersebut, seramai 267 pelajar menerima bantuan pendidikan melibatkan jumlah keseluruhan RM313,600 yang merangkumi 55 pelajar peringkat sijil, 118 pelajar diploma dan 94 pelajar ijazah.
Selain itu, bantuan Hari Raya turut disalurkan kepada 2,186 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal, balu dan orang kurang upaya (OKU) melibatkan 46 kampung dengan jumlah keseluruhan RM437,200.
Dalam masa sama, LAKIB turut menyalurkan sumbangan kepada institusi keagamaan melibatkan 21 buah masjid, 14 surau dan lima surau premis dengan jumlah sumbangan sebanyak RM90,000.
Iskandar turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu LAKIB termasuk mantan pengerusi, Allahyarham Talip Zulpilip yang banyak menyumbang kepada pembangunan kebajikan masyarakat Islam di Bintulu, termasuk usaha mewujudkan Bangunan Martabat yang kini menjadi pusat aktiviti kebajikan dan pembangunan masyarakat Islam di kawasan tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa LAKIB kini melalui proses penstrukturan semula organisasi dengan pembentukan barisan Ahli Lembaga baharu bagi memperkukuhkan tadbir urus serta pengurusan institusi tersebut.
Tambah beliau lagi, LAKIB juga merancang beberapa inisiatif baharu termasuk pemindahan pejabat pentadbiran ke kawasan ParkCity serta cadangan pembangunan Pusat Dialisis LAKIB bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan dialisis khususnya dalam kalangan masyarakat kurang berkemampuan.
Pada majlis sama, seramai 410 anak yatim turut menerima sumbangan Hari Raya berjumlah RM200 seorang hasil kerjasama Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Bintulu dan LAKIB, dengan masing-masing menyumbang RM100 bagi setiap penerima.-EDISI UKAS