Geran RM450,000 Disalur Kepada Masjid, Surau & Persatuan di Lawas
LAWAS: Sebanyak 49 masjid dan surau serta 41 kelab dan persatuan di Daerah Lawas menerima geran berjumlah RM450,000 menerusi program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Lawas.
Majlis penyampaian geran tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong dalam satu majlis di Hotel Seri Malaysia, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, beliau berkata keprihatinan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan mampu membantu meringankan beban masyarakat, khususnya menjelang musim perayaan.
“Peranan masyarakat kampung juga amat penting dalam memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan agar pembangunan di kawasan luar bandar dapat bergerak seiring dengan pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di daerah ini,” katanya.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima bagi memperkukuh peranan institusi masyarakat serta meneruskan pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS