Datuk Rubiah Santuni Warga Emas Dalam Jelajah Amal Ramadan
ASAJAYA: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang meneruskan siri Jelajah Amal Ramadan dengan menyantuni golongan memerlukan serta mengeratkan ukhuwah bersama penduduk di Kampung Sebandi Matang, pada Sabtu.
Program yang berlangsung di Surau Darul Huda Kampung Sebandi Matang itu turut diserikan dengan simbolik penyerahan bubur lambuk kepada Ketua Kampung untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
Terdahulu, beliau telah meluangkan masa menziarahi seorang warga emas yang sedang terlantar sakit di kampung berkenaan.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan selain memberi kata-kata semangat kepada keluarga berkenaan.
Menurut beliau, program kebajikan seperti Jelajah Amal Ramadan bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform terbaik untuk pemimpin mendekati masyarakat serta memahami keperluan rakyat secara langsung.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar terus memelihara semangat perpaduan dan saling membantu dalam komuniti, khususnya ketika berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup.-EDISI UKAS