PMG Berpotensi Jadi Rangkaian Perubatan Bersepadu Terbesar Malaysia
SIBU: Rangkaian penjagaan kesihatan PMG Healthcare yang berpangkalan di Sarawak berpotensi berkembang menjadi rangkaian perubatan bersepadu terbesar di Malaysia walaupun bermula dari Borneo.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, perkembangan PMG membuktikan bahawa inisiatif yang bermula di Sarawak mampu berkembang menjadi rangkaian penjagaan kesihatan yang kukuh melalui komitmen, nilai serta usaha kolektif individu yang memilih untuk membina masa depan mereka di negeri ini.
Menurutnya, lebih sedekad lalu sekitar tahun 2012, PMG memulakan operasi dengan pembukaan farmasi sebelum mengembangkan perkhidmatan kepada klinik perubatan di Sri Aman serta klinik pergigian pada 2013.
"Hari ini, PMG mempunyai lebih 200 farmasi, 40 klinik di Sarawak, lapan klinik pergigian dan kini dua pusat fisioterapi. Ini merupakan pencapaian yang amat luar biasa.
“Saya menantikan pengembangan seterusnya bukan sahaja untuk menjadi rangkaian terbesar tetapi juga rangkaian perubatan bersepadu terbesar di Malaysia, yang bermula dari hutan Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi PMG Physio di Jalan Pahlawan, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut memuji keberanian PMG meneroka teknologi baharu termasuk penggunaan sistem pemulihan robotik dalam rawatan fisioterapi bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Beliau berharap lebih banyak inisiatif inovatif seumpama itu akan terus menyumbang kepada pembangunan sektor penjagaan kesihatan di Sarawak selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa bidang fisioterapi masih mempunyai potensi besar untuk berkembang di Sarawak memandangkan bidang tersebut masih kurang diterokai.
Menurutnya, jumlah fisioterapis di Sarawak masih terhad dengan hospital kerajaan hanya mempunyai sekitar 24 jawatan fisioterapi dan tidak semuanya diisi, sekali gus menunjukkan ruang yang luas untuk perkembangan bidang tersebut pada masa hadapan.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan PMG Healthcare Sdn Bhd Dr Chieng King Chong, Timbalan Pengarah Urusan PMG Healthcare Sdn Bhd Andrew Wong Pak Ung, Ketua Ahli Farmasi PMG Healthcare Sdn Bhd Ling Hung Leong serta Pengarah Fisioterapi PMG Physio Sdn Bhd Everlynn Hii Yi Xuan.-EDISI UKAS