Program Rakan UKAS Erat Silaturahim, Salur Maklumat Kerajaan Kepada Rakyat
KUCHING: Penganjuran pelbagai program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di peringkat komuniti bukan sahaja bertujuan merapatkan hubungan silaturahim, malah menjadi medium penting untuk menyalurkan maklumat tepat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam hal komunikasi awam, UKAS memainkan peranan penting memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih dan tepat.
Menurut beliau, pelaksanaan siri program bersama masyarakat bukan sahaja di kampung-kampung, malah turut dilaksanakan di kawasan lain seperti Balai Ringin dan beberapa lokasi lain di seluruh negeri.
“Tujuan program seperti ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk merapatkan silaturahim bersama masyarakat.
“Dalam masa yang sama, ia juga merupakan tanggungjawab hakiki UKAS untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai perkembangan semasa serta cabaran yang dihadapi, termasuk penyebaran maklumat tidak tepat melalui media sosial,” katanya ketika berucap pada Program Rakan UKAS “ Berambeh Sungkey” bersama penduduk di Esplanade Kampung Sourabaya, pada Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pelbagai aktiviti yang dianjurkan di peringkat kampung melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) mampu mengeratkan hubungan masyarakat.
Menurutnya, aktiviti tersebut juga memberi peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan amal jariah, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Bulan Ramadan merupakan masa terbaik untuk meningkatkan amal jariah. Ramai yang berjaya dalam kerjaya masing-masing menggunakan peluang ini untuk pulang ke kampung halaman dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan,” ujarnya.
Majlis dimulakan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Sahibus Siyadah Ustaz Mu’al Suaud.
Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian sumbangan kepada 60 penerima terdiri daripada golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal melalui Pusat Khidmat Pantai Damai.
Daripada jumlah tersebut, seramai 10 penerima masing-masing dari Kampung Sourabaya Ulu, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Panglima Seman Ulu, manakala 20 penerima lagi dari Kampung Sourabaya Hilir.
Selain itu, sebanyak 500 pek bubur pedas turut diagihkan oleh UKAS kepada masyarakat setempat manakala bubur lambuk disumbangkan oleh Pertubuhan Keturunan Waris Pengiran Sarawak (PKWPS) sebelum majlis berbuka puasa bersama penduduk diadakan.
Turut hadir, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Ts. Mohd Faisal Adenan, Penghulu Kampung Boyan, Gersik dan Sourabaya Jaafar Abong, wakil-wakil agensi kerajaan, barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk setempat.-EDISI UKAS