Plaza Merdeka Rai Anak Yatim, Asnaf Menerusi “Kamboh Eh Raya Celebration”
KUCHING: Program Plaza Merdeka “Kamboh Eh Raya Celebration” menjadi platform bermakna dalam menyemarakkan Ramadan apabila anak-anak yatim dan golongan asnaf turut diraikan dalam suasana penuh kasih sayang dan kebersamaan di Plaza Merdeka di sini pada Sabtu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk berbuka puasa bersama, malah menjadi wadah berkongsi rezeki, kegembiraan dan keprihatinan dengan golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, Ramadan bukan sekadar bulan untuk menahan lapar dan dahaga, sebaliknya mendidik masyarakat mengenai nilai kesabaran, keikhlasan serta kepedulian terhadap sesama insan.
Katanya, program seperti itu amat signifikan kerana ia mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat yang prihatin serta sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, khususnya menjelang sambutan Aidilfitri.
Dalam masa sama, beliau berkata Ramadan juga menjadi wadah penting untuk memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk di Sarawak berasaskan nilai hormat-menghormati, toleransi dan semangat kekitaan yang sentiasa dipelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Plaza Merdeka, khususnya kepada Dato Steve Ng dan Datin Anriza Wong Cordero, atas keprihatinan dan kemurahan hati mereka dalam menyantuni anak-anak yatim serta golongan asnaf sepanjang bulan mulia ini.
Tambah beliau, usaha murni sedemikian wajar dijadikan contoh kepada lebih banyak pihak, terutama sektor korporat dan swasta, untuk bersama-sama melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat demi memperkasa komuniti dan membantu golongan memerlukan.
Beliau percaya kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat mampu membina sebuah komuniti yang lebih penyayang, inklusif dan sejahtera.
Program tersebut turut membawa mesej bahawa kemeriahan Ramadan dan Syawal harus dikongsi bersama semua lapisan masyarakat agar tiada yang terpinggir daripada menikmati kegembiraan perayaan. -EDISI UKAS