Program Bubur Lambuk Jabatan Pertanian Sri Aman Erat Silaturahim Ramadan
SRI AMAN: Semangat kebersamaan dan budaya berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan terus disemarakkan menerusi penganjuran Program Pengagihan Bubur Lambuk oleh Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman yang berlangsung di pekarangan tempat letak kereta Pejabat Pertanian Bahagian Sri Aman.
Program tahunan tersebut dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kakitangan jabatan dengan agensi-agensi kerajaan lain di samping memupuk nilai kebajikan serta semangat saling berkongsi dalam kalangan penjawat awam sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.
Aktiviti dimulakan seawal jam 8 pagi dengan penyediaan bubur lambuk secara gotong-royong yang melibatkan warga kerja Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman.
Sebanyak 500 bekas bubur lambuk berjaya disediakan sebelum diagihkan kepada beberapa jabatan dan agensi kerajaan di sekitar Sri Aman sebagai tanda penghargaan serta simbol semangat kebersamaan antara penjawat awam di bahagian tersebut.
Secara keseluruhannya, program pada Jumaat tersebut berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak yang terlibat.
Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform memperkukuh kerjasama antara jabatan di samping menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat di Bahagian Sri Aman.-EDISI UKAS