Bantuan Tanam Semula Getah RISDA Di Sarawak Naik 55 Peratus, RM14,805 Kepada RM23,000 sehektar
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa sektor pekebun kecil apabila menaikkan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah Lembaga Kemajuan Getah Pekebun Kecil (RISDA) di Sarawak daripada RM14,805 kepada RM23,000 sehektar, peningkatan sebanyak 55 peratus.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan sebanyak RM8,195 sehektar itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran sebenar yang dihadapi pekebun kecil, termasuk peningkatan kos pembangunan kebun, logistik serta input pertanian.
“Kerajaan sentiasa mendengar suara rakyat dan memahami cabaran di lapangan. Justeru, kita mengambil pendekatan yang lebih realistik dengan menaikkan kadar bantuan tanam semula getah di Sarawak kepada RM23,000 sehektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan dan Program Kemakmuran Pekebun Kecil RISDA Sarawak 2026 di Masjid Darul Istiqamah, Kampung Niup, pada Sabtu.
Sementara itu, beliau menjelaskan bantuan tersebut akan disalurkan melalui lima fasa pembayaran yang meliputi penyediaan kebun, bekalan benih, baja serta input pertanian lain bagi memastikan pembangunan kebun getah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
Tambahnya, usaha memperkasa sektor getah akan terus dipergiatkan melalui pelbagai inisiatif termasuk mempelbagaikan penggunaan getah dalam sektor industri seperti bahan penurapan jalan serta produk berasaskan getah yang berpotensi meningkatkan permintaan pasaran.
“Apabila penggunaan getah diperluaskan, ia secara langsung membantu meningkatkan nilai komoditi tersebut sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada penoreh dan pekebun kecil di seluruh negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Majlis Santunan Kasih Ramadan yang dianjurkan RISDA turut menjadi platform memperkukuh kebajikan masyarakat desa melalui penyampaian pelbagai bantuan kepada komuniti setempat.
Antara pengisian utama program ialah penyampaian peruntukan pembangunan RISDA Negeri Sarawak 2026 berjumlah RM29,257,190, selain sumbangan bakul makanan asas kepada 120 penduduk Kampung Niup.
Turut disampaikan sumbangan institusi masing-masing bernilai RM3,000 kepada Masjid Darul Istiqamah dan Surau Kampung Niup, di samping bantuan kepada 30 pelajar Pusat Pengajian Tafaqquh Tahfiz Al-Makk serta 20 anak yatim dari kampung berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak merangkap ADUN Muara TuangDato’ Haji Idris Buang, Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi RISDA Malaysia, Manndzri Nasib, ADUN Rungkup, Perak, Dato’ Shahrul Zaman Yahya, Orang Besar Jajahan Daerah Bagan Datuk, Perak, Toh Seri Lela Paduka Dato’ Dr. Khalid Ismail dan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.-EDISI UKAS