Naik Taraf Dewan, Program Komuniti: DBNA Lundu Terima RM350,000
LUNDU: Usaha memperkukuh pembangunan komuniti serta memelihara warisan budaya masyarakat Bidayuh terus diperkasa apabila peruntukan keseluruhan berjumlah RM350,000 disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Lundu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, dana itu diperuntukkan bagi tujuan menaik taraf Bangunan DBNA Lundu serta Dewan DBNA Lundu agar kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti komuniti yang lebih selesa dan berfungsi kepada masyarakat setempat.
Beliau turut menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM50,000 kepada DBNA Cawangan Lundu bagi menyokong pelaksanaan beberapa program utama termasuk Sambutan Gawai 2026, insentif pendidikan kepada pelajar serta pengurusan dan pentadbiran organisasi tersebut.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tiga Tahunan DBNA Cawangan Lundu yang berlangsung di Dewan DBNA Lundu, pada Sabtu.
Billy berkata, DBNA memainkan peranan penting sebagai wadah yang menyatukan masyarakat Bidayuh di daerah Lundu yang terdiri daripada pelbagai sub-etnik seperti Salako, Jagoi dan Rara, sekali gus memastikan warisan budaya, bahasa serta adat resam terus dipelihara.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kepentingan usaha dokumentasi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) masyarakat Bidayuh sebagai langkah penting bagi memastikan hak tanah warisan komuniti terus terpelihara dan diiktiraf.
Antara yang hadir ialah Temenggong Masyarakat Bidayuh Bahagian Kuching, Atok Darop, Pengerusi DBNA Cawangan Lundu, Suimi Kimseng, Penghulu Wang Ering, barisan ketua kaum serta ahli jawatankuasa dan ahli DBNA Cawangan Lundu.-EDISI UKAS