Projek Infrastruktur Jalan Long Bemang Bakal Manfaatkan Penduduk Setempat
MIRI: Projek pembinaan dan penambahbaikan Jalan Simpang Temala - Long Bemang dan Jalan Spur Long Bemang dengan kos RM44.9 juta dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato’ Dennis Ngau berkata, projek ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 3,500 penduduk di Long Bemang serta beberapa penempatan di kawasan sekitarnya.
“Saya percaya kemudahan jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan perhubungan dengan kawasan luar, tetapi pemangkin kepada perkembangan sosioekonomi penduduk setempat, termasuk memudahkan urusan harian, akses kepada pendidikan, kesihatan serta aktiviti ekonomi.
“Projek ini akan memudahkan penduduk mengangkut hasil pertanian seperti kelapa sawit, menjual hasil sungai, kraf tangan tempatan dan buah-buahan,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Jalan Simpang Temala - Long Bemang dan Jalan Spur Long Bemang, pada Jumaat.
Projek ini merangkumi penambahbaikan jalan balak sedia ada sepanjang 5 kilometer (km) dari Simpang Temala ke jalan utama Long Bemang manakala Jalan Spur Long Bemang melibatkan kerja penambahbaikan jalan tanah sepanjang 6.6 km, jalan konkrit sedia ada (0.75 km) serta pembinaan jalan baharu (1.6 km).
Projek di bawah seliaan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) ini bermula pada 30 Disember tahu lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2028. -EDISI UKAS