SK Agama MIS Sri Aman Ceriakan Ramadan Dalam Majlis Sungkey PIBG & Alumni
SIMANGGANG: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman meriahkan Ramadan tahun ini menerusi Majlis Sungkey PIBG dan Alumni SK Agama MIS Sri Aman 2026 bertempat di Dewan Al-Ghazali.
Jurucakap program itu memberitahu, majlis sungkey adalah julung kalinya dianjur oleh pihak PIBG bersama alumni sekolah terbabit dan berjaya menghimpunkan seramai 80 orang hadirin yang terdiri daripada ibu bapa, murid, guru serta bekas murid.
"Majlis sungkey yang telah bermula 6.30 petang berkenaan telah berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah apabila para hadirin membawa makanan dan tikar sendiri untuk berbuka puasa secara santai.
"Suasana ini bagi kami bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pihak sekolah dan komuniti malah turut menyemai semangat kebersamaan serta perpaduan warga SK Agama MIS Sri Aman sempena Ramadan ini," katanya pada Sabtu.
Beliau juga turut memberitahu bahawa penganjuran majlis sungkey bersama alumni berkenaan secara tidak langsung menjadi bukti bahawa warga sekolah dapat bersatu hati dalam mengimarahkan Ramadan pada setiap tahun.
“Kami berharap tradisi sungkey ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai wadah memperkukuh hubungan antara sekolah, ibu bapa dan bekas murid SK Agama MIS Sri Aman,”katanya. -EDISI UKAS