Taman Selera Harmoni lokasi Hab Halal pertama di Sibu
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melancarkan Hab Halal pertama di Sibu di Taman Selera Harmoni sebagai satu inisiatif untuk membuka peluang kepada usahawan tempatan menceburi perniagaan berasaskan halal serta mempromosikan produk tempatan kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam menyokong pembangunan ekonomi masyarakat selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan industri halal.
“Industri halal kini merupakan antara sektor ekonomi yang berkembang pesat di peringkat global.
“Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal semakin meningkat bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah turut mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa kerana piawaian halal sering dikaitkan dengan aspek kebersihan, keselamatan serta kualiti produk,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayeed Azmee Wan Junaidi pada Majlis Penyalaan Lampu Hab Halal di Taman Selera Harmoni di sini pada Sabtu.
Datuk Dr Annuar berkata hab halal tersebut juga berpotensi menjadi platform penting untuk mempromosikan produk tempatan ke pasaran yang lebih luas.
Katanya, ia bukan sahaja membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan berasaskan halal, malah boleh menjadi pusat kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pematuhan terhadap piawaian halal.
“Inisiatif seperti ini juga mampu memperkukuh keyakinan pengguna terhadap produk tempatan sekali gus meningkatkan daya saing usahawan di pasaran.
“Sehubungan itu, saya menggesa para usahawan tempatan agar memanfaatkan peluang ini dengan meningkatkan inovasi serta kualiti produk, selain memperluaskan rangkaian perniagaan dalam industri halal,” ujar beliau.
Beliau menambah kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, komuniti serta para usahawan amat penting bagi memastikan kejayaan dan kelestarian inisiatif berkenaan.
Harapannya agar hab halal itu akan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di Sibu pada masa akan datang.
Hadir sama Timbalan Pengerusi MPS Mohammed Abdullah Izkandar Roseley, Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Runcit MPS Kaunselor Jenny Ting, Kaunselor Shirley Ling, Kaunselor Raden Khairulzaman Raden Bustari dan Kaunselor Christopher Kelebit Ansa.-EDISI UKAS